Beri pendedahan teknik bekam yang betul, selamat





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Lumapas 'B' 





BERAKAS, Jumaat, 15 Mei. - Seramai empat peserta termasuk daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan penduduk Kampung Lumapas 'B' telah menamatkan Bengkel Intensif Bekam, bertempat di Pusat Latihan Al-Fitrah Sehat Care, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lambak Kiri, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan sekali gus menyampaikan sijil kepada para peserta, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas 'B'.


Bengkel dua hari berkenaan ditunjuk ajar oleh Pengasas Latihan Al-Fitrah Sehat Care, Pengiran Jasrin bin Pengiran Tuah; dan juga Awang Muhammad Nazirul Azri bin Haji Nordin.


Para peserta diterangkan mngenai beberapa perkara asas dalam kaedah berbekam antara lain merangkumi persediaan peralatan steril, pemilihan titik bekam yang tepat, memahami tahap tekanan vakum, dan mengamalkan prosedur keselamatan serta kebersihan bagi mengelakkan sebarang jangkitan.


Bekam atau 'cupping' adalah kaedah perubatan alternatif tradisional yang mengeluarkan darah kotor atau bertoksik dari bawah permukaan kulit menggunakan cawan khas. Ia bertujuan untuk melancarkan peredaran darah, meredakan kesakitan otot, dan membuang angin dalam badan.


Selain itu, bekam juga sunnah dilakukan pada hari-hari ganjil dalam kalendar Islam seperti 17, 19, dan 21 bulan Hijrah. 


Secara praktikalnya adalah lebih afdal dilakukan ketika perut kosong atau beberapa jam selepas makan. Elakkan berbekam sejurus selepas penat bersenam atau mandi serta tidak digalakkan berbekam ketika sedang sakit tenat, demam panas, atau sedang haid bagi wanita.


Tujuan bengkel bekam berkenaan diadakan adalah untuk memberi pendedahan mengenai teknik bekam yang betul dan selamat, di samping meningkatkan pengetahuan peserta tentang manfaat bekam dari sudut kesihatan dan kesejahteraan. 


Dengan adanya bengkel berkenaan juga diharap dapat melahirkan peserta yang berkemahiran dalam bidang bekam sebagai salah satu usaha menjana pendapatan sampingan serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti yang bermanfaat dan berpotensi menjadi peluang keusahawanan.


Close